Jumaat, Julai 24, 2009

SAH!!
PENCURI HANDSET KU
PEREMPUAN!!!
JENAYAH AKTIVIS DAKWAH


“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus।
Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.
DULU-DULU
Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!
Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.
Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.
Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.
Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.
HARI INI
Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.
Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.

Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?
Tentu sahaja tidak.
Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!
Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.
‘ESCAPISM’
Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?
Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.
Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.
Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.

Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.
Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.
ALASAN
Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.
“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.
Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.
Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.
MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’
“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.
Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.
“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.
Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.

Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.
Sifirnya mudah.
Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.
Itqan.
Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!
Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.
Lupakah kita kepada firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]
Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.
Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA
Setuju. Saya setuju 100%.
Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.
Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.
Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.
Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!
Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!
AKIBAT LEMAH AKADEMIK
Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.
Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.
Syariatullah
Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.
“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.
“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.
“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.
Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buat homework.
Itu jenayah terhadap Syariatullah.
Sunnatullah
“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.
Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.
Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.
Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?
Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.
Mencetus mudarat..
Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!
Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?
‘Berdosa’ mengabaikan Bahasa Inggeris?
ALLAH MESTI TOLONG
Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.
Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.
“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.
Cuba perhatikan firman Allah SWT:
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]
Allah SWT berjanji akan membantu.
Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.
TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).
Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.
Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.
Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.
Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.
Gambar hiasan
Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.
Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.
BERLATIH MENGURUSKAN REALITI
Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.
Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.
Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.
Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.
Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.
Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.
TAMRIN DISIPLIN
Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.
TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.
“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]
Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.
PENGAJIAN ISLAM TIDAK RELIVEN LAGI



Tiada siapa menafikan.
Ilmu agama pada hari ini sangat mudah diperolehi. Segalanya berada di hujung jari.
Tidak perlu lagi bermusafir ribuan batu untuk menyemak status riwayat yang diperolehi, kesusahan itu sudah banyak dihilangkan oleh kemudahan-kemudahan yang terhasil dari kecerdikan manusia berfikir dan bekerja. Terima kasih kepada segala kemudahan ini. Bermula daripada bekalan elektrik, alat elektrik, surat elektronik dan semua yang terangkum di dalam slogan efektif, efisyen, pantas, tepat dan jelas berpiksel tinggi.
Dalam segala kemudahan ini, sepatutnya banyak masalah umat berjaya diselesaikan.
Namun tiada siapa yang dapat menafikan, baik oleh pertimbangan akal, mahu pun oleh emosi yang merasa, kehidupan hari ini lebih meresahkan.
Suatu ketika, kita pernah diperingatkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Daripada Abu Hurairah Abd al-Rahman ibn Sakhar radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripadanya, hendaklah engkau jauhkan diri daripadanya. Apa yang aku perintahkan kamu terhadapnya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh kemampuan kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu, mereka menjadi binasa disebabkan oleh banyak persoalan mereka, serta khilaf perselisihan terhadap Nabi-nabi mereka” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Bagaimanakah lambakan persoalan boleh mengundang binasa?
Mungkin 30 tahun yang lalu, agak sulit untuk kita membayangkan bagaimana persoalan-persoalan dan perbalahan yang tidak berkesudahan boleh mengundang binasa. Tetapi tidak lagi di hari ini. Kita melihat saban hari, di celah-celah kemudahan mendapatkan ilmu pengetahuan, semakin banyak persoalan yang timbul dan gagal diselesaikan oleh umat.
Andaikata persoalan yang timbul merupakan persoalan semasa, berkaitan dengan penemuan-penemuan sains yang memerlukan pendirian Islam mengenainya, ia tidaklah menghairankan. Persoalan yang timbul memberikan konotasi perkembangan yang sihat tentang pencapaian umat.
Tetapi apabila persoalan yang timbul itu adalah persoalan yang sudah berusia 500 atau 1000 tahun, dan persoalan-persoalan yang meletihkan ini berkeliaran menimbulkan resah, gelisah, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat yang berdaya tinggi pada kebolehan mendapatkan maklumat, ia simptom yang amat jelas terhadap sebuah kebinasaan.
Senaraikanlah khilaf yang membawa perpecahan kepada umat hari ini, hampir kesemuanya berasaskan kepada masalah yang umurnya sudah sama tua dengan usia umat ini.
Jarang sekali umat bertelingkah tentang masalah mercy killing di dalam perubatan. Tidak jelas adanya perpecahan yang membelah kesatuan umat pada soal berkaitan dengan penggunaan emulsifier dalam teknologi makanan.
KHILAF YANG MEMBINASAKAN
Apa yang meretakkan umat ialah pada percakaran tentang soal bid’ah atau tidak bid’ahnya amalan tertentu di dalam masyarakat, soal perbalahan di antara aliran Salaf dan Khalaf, di samping kacau bilau tasawwur tentang asas khilaf di antara Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dengan Syiah.
Berapakah usia pertengkaran itu?
Isunya bukan timbul semalam atau kelmarin. Tidak juga 100 tahun atau 200 tahun yang lalu. Khilaf itu sudah mengiringi survival umat semenjak di era al-Khulafa’ al-Raasyidoon, Bani Umayyah dan Abbasiyyah, membawa ke hari-hari di kehidupan semasa ini.
Apakah kesudahan kepada perbalahan ini?
Saya tiada jawapan yang mudah mengenainya.
Tetapi ada satu tanda tanya yang besar di dalam fikiran saya.
Apakah penyebaran yang meluas terhadap ilmu-ilmu Islam ini bermaksud berkembang dan membangunnya disiplin Pengajian Islam?
Atau mungkin di sana ada sesuatu yang terjadi, bahawa meluasnya ilmu Islam ini berjalan seiringan dengan kemerosotan disiplin Pengajian Islam, kemerosotan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam?
Dan sejauh manakah perkembangan ini menyumbang kepada pertambahan ilmu sama naik dengan pertambahan masalah?
Seandainya segala ilmu pengetahuan di dalam khazanah Islam itu sudah begitu mudah diperolehi di hujung jari, apakah masih relevan disiplin ilmu Pengajian Islam? Andaikata seorang berkelulusan Teknologi Makanan, Kejuruteraan atau Perubatan juga sudah mampu untuk menjadi rujukan umat terhadap permasalahan agama, di manakah letaknya signifikasi Fakulti Pengajian Islam?
PENGAJIAN ISLAM SEMASA
Lihat sahaja perkembangan semasa.
Segala-galanya menunjukkan kepada pengecutan disiplin Pengajian Islam. Bermula daripada peringkat sekolah, hinggalah kepada universiti.
Lihatlah sekolah-sekolah agama terkemuka di Malaysia seperti KISAS, SMAP Labu atau SMAP Kajang, berapakah jumlah kelas aliran Pengajian Islam untuk peringkat SPM, berbanding dengan kelas aliran Sains? Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah agama kerajaan negeri, Maahad atau SMKA di seluruh negara? Apakah nisbah di antara bidang Sains dan Pengajian Islam masih seimbang, atau berlaku kemerosotan yang signifikan terhadap peluang dan ruang bidang Pengajian Islam?
Bagaimana pula dengan Fakulti Pengajian Islam?
Saya tidak punya sebarang statistik. Justeru saya tidak membuat sebarang dakwaan, sebaliknya melontarkan soalan untuk dijawab oleh mereka yang memiliki jawapan mengenainya.
Apakah saiz Akademi Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam di UKM, Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge di UIAM dan IPTA serta IPTS lain meningkat, atau masih kekal konsisten, atau mengalami kemerosotan dari segi kuantiti (sebelum isu kualiti)?
LUAR NEGARA
Bagaimana pula dengan Pengajian Islam di universiti-universiti di luar negara?
Di Mesir, Jordan, Syria, Yaman, Sudan, Arab Saudi, Maghribi, India dan Pakistan?
Saya juga tidak mempunyai statistik yang tepat. Tetapi apa yang pasti, Jordan mengalami kemerosotan yang amat ketara. Daripada jumlah pelajar Pengajian Islam (Syariah, Usuluddin dan lain-lain) serta Kesusasteraan Arab yang pernah mencecah jumlah lebih 4000 orang pada pertengahan 1990′an, kini jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di Jordan berada di bawah paras 1000 dengan pecahan pelajar Perubatan yang amat besar berbanding pelajar di bidang Pengajian Islam.
Bagaimana pula nasib Mesir selepas STAM diperkenalkan?
Apa yang pasti, saya sudah tidak mendengar adanya biasiswa-biasiswa yang ditawarkan oleh JPA atau MARA atau Kementerian Pendidikan, untuk menghantar pelajar ke Negara Arab di bawah program UPU yang berkongsi syarat kelayakan yang sama seperti penghantaran pelajar ke UK, USA, Australia, Jepun dan sebagainya.
Pengajian Islam sudah hilang keutamaan.
Jika dilihat kepada kemudahan untuk belajar agama pada hari ini, mungkin kegusaran yang timbul boleh ditepis dengan mudah.
“Apa perlunya dirisaukan hal ini? Seorang doktor yang rajin belajar agama juga boleh jadi sehebat ustaz, malah mungkin lebih lagi,” kata seorang profesional bertaraf ustaz.
“Lihat sahajalah pelajar lulusan bidang agama, tak ke mana pun kemahiran mereka sebenarnya…” tambah seorang yang lain.
DUA PILIHAN
Ya, kita ada dua pilihan.
Sama ada seseorang itu belajar bidang Pengajian Islam, kemudian menyambung lagi pengajian di peringkat Masters dan PhD di dalam pengkhususan-pengkhususan berkemahiran tinggi di bidang Pengajian Islam. Atau juga sebahagiannya menambah kelayakan dengan mempelajari bidang-bidang sokongan seperti Psikologi, Pendidikan, Sains Sosial dan sebagainya. Atau pun seseorang belajar di bidang non Pengajian Islam seperti Kejuruteraan, Perubatan, Ekonomi dan seumpamanya, kemudian mereka menambah usaha mempelajari bidang Pengajian Islam bagi menyokong diri.
Apa yang pasti, kedua-dua pilihan ini, akan hanya dipilih oleh manusia yang bersemangat tinggi, bercita-cita besar dan mempunyai kesediaan prasarana otak, kemahiran belajar dan kesungguhan yang di luar kebiasaan.
Berapa ramaikah manusia seperti ini yang berada di bidang Pengajian Islam, atau berada di bidang bukan Pengajian Islam tetapi memiliki kesedaran Islam yang tinggi?
Jawapannya menimbulkan pelbagai persoalan yang lebih serius.
Kembali kepada persoalan Pengajian Islam dan relevannya ia pada keperluan semasa, saya perlu memikirkan kembali, apakah yang saya tempuhi di dalam sistem pengajian di Fakulti Syariah sebelum diberikan segulung ijazah tanda selesainya satu peringkat proses tersebut.
MELIHAT KE BELAKANG
Fakulti Syariah, University of Jordan, Amman
Jika ada di kalangan kita yang merasakan kemerosotan perkembangan bidang Pengajian Islam hari ini tidak mendatangkan mudarat kepada umat, saya mahu memulakan proses mencari jawapan kepada pandangan tersebut dengan menyemak kembali apakah subjek-subjek yang diajar selama saya dan rakan-rakan menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama Syariah.
Saya percaya, kombinasi 46 subjek ini sangat memainkan peranan dalam menstrukturkan kefahaman seseorang tentang Islam dan legasi keilmuannya.
Berikut adalah subjek-subjek yang saya ambil sebagai pelengkap kepada segulung ijazah Syariah:
1. Arabic Language for Foreigners 099
2. Arabic Language for Foreigners 100
3. Arabic Language 101
4. Tsaqafah Islamiyyah
5. Introduction to Islamic Fiqh (Al-Madkhal ila al-Fiqh al-Islami)
6. Science of Hadith (Uloom al-Hadith)
7. Science of Quran (Uloom al-Qur’an)
8. Al-Seerah al-Nabawiyyah
9. English Language 101
10. Ayaat al-Ahkaam
11. Hadeeth 1
12. Aqeedah 1
13. Ahwal Syakhsiyyah (Fiqh Munakahat – Zawaaj) 1
14. Mabaadi’ fi al-Nahw wa al-Sarf
15. English Language 2
16. Usool al-Fiqh 1
17. Principles of Education (Mabaadi’ al-Tarbiyyah)
18. Study Skills (English)
19. Fiqh al-Qadha’ wa Thurooq al-Itsbaat (Jurisdiction System and Methods of Proofing Evidence)
20. Fiqh al-’Ibaadaat 1
21. Usool al-Fiqh 2 (Dilaalaat)
22. Research Methodology and Islamic Resources
23. Tilaawah wa Tajweed
24. Ahwal Syakhsiyyah (Fiqh Munakahat – Thalaaq) 2
25. Al-Tasyree’ al-Jinaa’ie fi al-Islaam (Penal Code Jurisprudence)
26. Diraasaat fi Kutub al-Tafseer (al-Tafseer wa al-Mufassiroon)
27. Al-Aqidah al-Islamiyyah 2 (Prophethood in Islamic Tradition, Christianity and Judaism)
28. Hadeeth 2
29. Fiqh al-’Ibaadaat 2
30. Al-Arabiyyah Kitaabah (Arabic Writing)
31. Huqooq al-Insaan fi al-Islaam (Human Rights in Islam)
32. Al-Ahwal al-Syakhsiyyah 3 (Fiqh Wasaayaa wa al-Mawaarith)
33. Adyaan Muqaaranah (Comparative Religions)
34. Al-Da’wah al-Islaamiyyah wa al-Khitaabah
35. Military Science
36. Diraasah Nahwiyyah Arabiyyah 1 (Arabic Grammatical Studies 1)
37. Fiqh al-Mu’aamalaat 1
38. Al-Qawaaid al-Fiqhiyyah
39. Al-Tafsir al-Tahlili (Analytical Interpretation of the Quran)
40. Al-Tarbiyyah al-Wathaniyyah (Jordanian Citizenship)
41. Military History
42. Al-Aqidah al-Islaamiyyah 3
43. Al-Quds fi al-Taarikh al-’Arabi wa al-Islaami (Jerusalem in the Arabic and Islamic History)
44. Al-Hadhaarah al-Islaamiyyah (Islamic Civilization)
45. Al-Alaaqaat al-Dauliyyah fi al-Islaam (International Diplomatic Relationship in Islam)
46. Asaasiyyaat al-Idaarah (Principles of Management)
Di samping 46 subjek yang disyaratkan untuk memperolehi ijazah Syariah, para pelajar juga dikehendaki menghafal 6 juzuk daripada al-Quran bermula daripada juzuk 25 hingga ke juzuk 30.
PASCA TAMAT PENGAJIAN
Semasa belajar, ada sesetengah subjek yang menimbulkan persoalan kepada diri saya. Mengapakah subjek-subjek tersebut diajar sedemikian rupa?
Misalnya untuk subjek Fiqh berkaitan dengan Thaharah, Solat, Puasa, Zakat, Haji dan cabang-cabangnya, kami mempelajarinya sebanyak dua pusingan. Satu pusingan di dalam subjek Fiqh dengan menggunakan kitab-kitab Ahli Fiqh khususnya Mazhab Syafi’e dan Hanafi. Kemudian subjek yang sama diulang pembelajarannya tetapi dengan menggunakan kitab Hadith dengan manhaj ahli Hadith.
Sebelum subjek-subjek Fiqh ini dipelajari, para pelajar juga harus belajar satu subjek yang merangkumi keseluruhannya secara tasawwur umum iaitu subjek al-Madkhal ila al-Fiqh al-Islaami. Begitu juga dengan subjek Usul al-Fiqh 1 dan Usul al-Fiqh 2, ketiga-tiga subjek ini memahamkan kepada para pelajar sejarah perkembangan Mazhab, asas-asas yang membawa kepada perbezaan dalam pemerosesan nas malah perbezaan pendekatan di antara Ulama Fiqh dengan Ahli Hadith.
Tetapi setelah pengajian selesai, penyusunan subjek sedemikian rupa membantu kami memahami akan wujudnya pelbagai aliran di dalam masyarakat, yang mana setiap aliran tersebut mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri di sepanjang zaman. Justeru khilaf di antara Imam Ahmad bin Hanbal dengan Imam-imam Mazhab yang lain, difahami sebagai perbezaan orientasi Ahli Fiqh dan Ahli Hadith.
Pemahaman seperti ini, menyebabkan saya secara peribadi tidak pernah menyangka yang ia akan disepahkan di tengah-tengah masyarakat sebagai khilaf yang bukan lagi khilaf, sebaliknya pertentangan di antara yang Haq dan Batil hingga membinasakan umat. Hairan sungguh. Kesemua pensyarah, dan buku rujukan tidak pernah menyemai persepsi sedemikian rupa, melainkan penyakit SIKAPlah yang menyelewengkan konotasi asalnya.
Universiti tidak pernah mengajar mana-mana pelajarnya untuk melagakan perbezaan pendapat dan manhaj. Malah universiti menekankan sebaliknya. Biar pun pensyarah tidak terlepas daripada mempunyai kecenderungan tertentu, namun disiplin akademik mencegah satu-satu aliran daripada dimenangkan ke atas satu aliran yang lain. Dalam banyak keadaan, khilaf yang berlaku adalah khilaf antara yang paling benar dengan yang benar, bukan antara yang paling benar dan yang paling batil.
Sikap dan krisis akhlaq jualah yang menjadi punca sistem sebaik ini, tidak terlepas daripada menanggung nasib seperti sawah bendang yang membekalkan beras, tetapi turut membiakkan tikus dan ular sebagai makhluk perosak.
Apatah lagi isu ini dicaca merbakan dengan penglibatan istilah Wahabi, Kaum Muda, Kaum Tua dan seterusnya. Disebarkan oleh agamawan yang berpenyakit akhlaq, kepada pengikut yang kurang peralatan untuk menimbang tara.
Malah ini juga asas kegusaran saya melihat kecenderungan generasi muda belajar ilmu Hadith tetapi tidak menghayati ilmu Usul al-Fiqh. Mereka menjadi sangat keras dan kaku dalam pemahaman, malah berleluasa pandangan yang kucar kacir apabila fenomena itu diperpanjangkan pada memperkatakan bidang seperti Politik, Muamalat dan saringan ideologi moden seperti Demokrasi, Sosialisma, Kapitalisma, Nasionalisma, Liberalisma dan yang seumpama dengannya.
Kegusaran yang serius tentang persoalan-persoalan berkaitan dengan Siasah.
Memperkatakan tentang Khilafah, kaedah pemilihan ketua negara, dan cabang-cabangnya tidak mungkin boleh dibuat hanya dengan lintasan hadith berkaitan politik di dalam subjek Hadith 1 dan Hadith 2. Sebaliknya beberapa subjek khusus disediakan untuk membina gambaran yang lengkap tentang apa yang dinamakan sebagai Siasah Syariyyah atau Sistem Politik Islam. Subjek-subjek tersebut juga hanya dipelajari selepas subjek teras dalam Usul dan Fiqh dilunaskan oleh para pelajar.
Tidak dilupakan, tatkala al-Quran mahu difahami akan tafsirannya, ia didahului terlebih dahulu dengan subjek khusus sebagai pra syarat sebelum Tafsir boleh difahami. Uloom al-Qur’aan memberikan asas-asas ilmu memahami al-Qur’an. Kemudian subjek Diraasaat fi Kutub al-Tafseer (al-Tafseer wa al-Mufassiroon) memperkenalkan kami kepada ilmuan-ilmuan Tafsir di sepanjang zaman, metodologi mereka serta kekuatan setiap Tafsir mereka dan bagaimana perkembangan zaman ke zaman itu memberikan kesan serta pengaruh kepada kecenderungan tafsiran masing-masing.
Sebelum semua subjek ini dipelajari, kami juga diajar beberapa subjek asas Bahasa Arab. Di dalam subjek ini, para pelajar didisplinkan dengan cara membaca dan menulis dengan betul. Hamzah harus dirumahkan di atas Alif, Wau atau Ya’, Alif Wasal atau Alif Qatha’, bagaimana menggunakan kamus-kamus Arab yang pelbagai dan lain-lain asas berbahasa yang betul.
Tidak sekadar itu, pelajar juga dikehendaki mempelajari tatabahasa Bahasa Arab dengan sebaiknya, mengenali perbezaan di antara Mazhab Bahasa Arab di Kufah dengan Basrah dan hal-hal yang membetulkan penuturan, pembacaan serta penulisan.
SUBJEK-SUBJEK SOKONGAN
Alhamdulillah sistem pengajian di Jordan juga menitikberatkan keperluan meluaskan horizon para pelajarnya. Maka para pelajar Syariah juga dikehendaki mempelajari subjek-subjek bukan Pengajian Islam dengan jumlah yang agak signifikan.
Antara subjek itu ialah Bahasa Inggeris, Prinsip ilmu Pengurusan, Pendidikan, Sejarah, Sains Ketenteraan dan Sejarah Ketenteraan. Pelajar juga mempunyai pilihan untuk mengambil subjek elektif seperti Sains Komputer, Bahasa Perancis, Sepanyol atau Bahasa Parsi, Sains Sukan, Prinsip Akaun dan sebagainya.
Kombinasi 46 subjek dengan hafalan 6 juzuk al-Qur’an ini adalah suatu proses yang amat panjang, rumit dan jika digarap dengan bersungguh-sungguh oleh para pelajar, ia berupaya untuk menyediakan ASAS yang diperlukan oleh seorang yang mahu berfungsi sebagai ilmuan di tengah masyarakat.
Inilah yang masih saya fikirkan.
Apakah dengan kemudahan akses terhadap ilmu-ilmu Islam pada era ICT ini, kemudahan itu mampu menamatkan signifikasi proses kesarjanaan di dalam bidang Pengajian Islam? Andaikata ilmu mudah diperolehi, saya masih ada persoalan tentang struktur ilmu.
Tatkala seseorang mahu memperkatakan tentang sejauh mana Sirah Nabawiyyah kita bersih daripada pengaruh Syiah akibat wujudnya pengambilan riwayat oleh Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq yang diketahui melalui pembacaan artikel bahawa beliau merupakan seorang Syiah, seorang yang melalui proses disiplin ilmu Pengajian Islam akan sedar bahawa isu itu hanya tip kepada sebuah iceberg yang amat besar.
Subjek Sirah Nabawiyyah, Aqidah 1, 2 dan 3, Ulum al-Hadeeth, Tamadun Islam, Perbandingan Agama dan beberapa subjek lain, masing-masing perlu dicantumkan untuk membentuk satu pendirian yang lengkap tentang subjek tersebut. Saya bertemu dengan perbahasan berkaitan ini semasa di tahun 3 pengajian, justeru berasa amat terkejut apabila ia menjadi topik perbualan di internet tanpa mengambil asas-asas yang kritikal itu tadi.
FORUM TIADA KESIMPULAN
Mungkin inilah punca utama mengapa apa sahaja tajuk yang dikemukakan di dalam forum-forum diskusi agama, ia jarang berakhir dengan kesimpulan. Biar pun ratusan reply dihantar, ia gagal menghasilkan satu keputusan yang boleh dipegang. Saya yakin, salah satu sebab mengapa situasi sebegini terjadi ialah apabila strutktur ilmu sebagai cerucuk kefahaman itu tidak menjadi sandaran perbincangan.
Terlalu mudah untuk satu-satu pandangan dibuat tentang hal-hal yang memerlukan kepada satu proses pembelajaran yang panjang.
Saya tidak pasti sejauh manakah kemudahan internet mampu melahirkan ilmuan yang boleh mencegah umat daripada segera terbelenggu dengan fenomena yang diamarankan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada dada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama’ sehingga jika tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain. [Hadith riwayat al-Bukhari: 100 & Muslim: 2673]
Dengan segulung ijazah Syariah, saya masih jauh daripada bayangan untuk mengisi kehilangan para Ulama yang pergi mendahului kita. Masih banyak yang perlu dikaji, dipelajari dan difahami. Masih kecil dan kerdil untuk menjadi pengganti. Jauh sekali.
Sebahagian ‘batu-bata’ yang diperlukan untuk proses itu
Tetapi saya percaya, pemergian tokoh seperti Fathi Yakan baru-baru ini dan terkini pula Sheikh Abdullah bin Abd al-Rahman Ibnu Jibrin, tidak memberi sebarang makna andai ia hanya mengundang tangisan air mata. Kehilangannya perlu diganti, dan saya tidak yakin dalam bahasa realistik, madrasah internet dan kuliah-kuliah Maghrib mampu berperanan menggantikan sebuah proses latihan di Fakulti Pengajian Islam.
Di tahun 90′an, JPA, MARA dan Kementerian Pendidikan berani membuat pelaburan menyediakan biasiswa dan pinjaman berprestij untuk menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke bidang Pengajian Islam dan hasilnya sedang dinikmati oleh masyarakat pada hari ini, Alhamdulillah.
Akan tetapi, ketiadaan peluang sedemikian rupa hari ini, dan kemerosotan prioriti terhadap disiplin Pengajian Islam semasa, amat membimbangkan.
Saya tidak begitu bimbang kalau orang memandang remeh kepada bidang Pengajian Islam atas faktor ekonomi. Ia mudah untuk disanggah dan ada banyak jalan untuk mengatasi masalah kerjaya ini. Kebimbangan saya ialah apabila orang memandang remeh kepada bidang Pengajian Islam untuk mendalami Islam. Inilah isu utama di dalam artikel ini.
Sesungguhnya, janganlah dibiarkan kemunduran itu.
Disiplin Pengajian Islam mesti diselamatkan.

Selasa, Julai 21, 2009

DI MANA MARUAH UMAT ISLAM???

Umat Islam hari ini tidak begitu serius dalam membina maruah diri selaku seorang Islam.Pun tidak serius dalam menjaganya.Bahkan lebih dasyat daripada itu ada umat yang rasa malu untuk menonjolkan diri sebagai seorang Islam. Malu untuk menjadi seorang yang benar benar beriman, mengamalkan hukum hukum yang wajib dan sunat, dan malu untuk berakhlak sebagai seorang Islam.Mereka takut untuk dituduh kolot, ketinggalan zaman dan jumud, sekiranya mereka benar benar mengamalkan Islam.

Mereka turut membenarkan fitnah fitnah yang mengatakan, kalau ikut Islam seseorang itu akan jadi jumud dan ketinggalam zaman. Mereka tidak yakin bahawa dengan Islamlah, umat Islam akan benar benar menjadi maju dan berjaya di dunia dan akhirat.Mereka tidak faham bahawa tamadun Islam yang agung yang telah pernah menggemparkan dunia satu masa dulu adalah dibina atas dasar Iman, Islam dan Akhlak. Itulah yang di ajar olih Allah dan Rasul.Dan itulah juga yang di katakan maruah tadi.Mereka tidak sedar bahawa umat Islam pada abad ini sebenarnya merempat dan terhina di bumi sendiri.Hatta makanan yang di suap kemulut pun bukan bikinan sendiri, terpaksa menadah tangan pada hasil buatan orang kafir.Pakaian yang di gayakan sebagai ciri kemodenan itu pun di ambil dari kilang orang kafir.Demikianlah juga halnya dalam apa jua aspek hidup, umat Islam bersandar pada ciptaan dan hasil usaha orang bukan Islam. Umat Islam tidak ada identiti sendiri. Umat Islam tidak ada maruah sendiri.Mana dia kemajuan dan kemodenan yang dibanggakan itu hingga kerana itu tergamak menggadai maruah agama.

Umat Islam hari ini kerana inginkan pujian, pengaruh, pangkat, harta, wang ringgit dan kuasa telah menggadai maruah selaku umat Islam. Mereka kebelakangkan iman dan hukum hukum Allah semata mata kerana memburu apa mereka istilahkan kemajuan tadi.Mereka kira dengan cara itu mereka lebih terhormat, mulia dan terpuji.Mereka menjual sesuatu yang mahal untuk membeli dunia yang tiada nilainya.Mereka lupakan Allah dan Rasul kerana kepentingan nafsu dan syaitan. Alhasil, kemuliaan dan kebahagiaan yang di cari makin hilang. Umat Islam makin tidak dipedulikan oleh dunia, malah tiada harga.Ada macam tidak ada.Yang ada tinggal nama, sedangkan kemuliaan , keagungan, dan kegemilangan Islam dan Umat Islam telah terlucut daripada manusia manusia bernama
Islam!

"Kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini bukan sahaja disebabkan karenah musuh tetapi berpunca dari kelalaian diri sendiri. Umat Islam sudah meremeh remehkan persoalan Iman, Syariat dan Akhlak ia itu tunggak maruah dalam Islam.Jika Iman kuat, Syariat kemas dan Akhlak meningkat, nescaya umat Islam menjdai tuan di dunia sebelum menjadi tuan di Akhirat".

MENGAPA UMAT ISLAM SEMAKIN MUNGKAR ?

Masyarakat Islam di Malaysia kini tenat dengan berbagai bagai penyakit.Dari masaalah orang awam yang terlibat dengan penyalahan guna dadah,Mat rempit, buang anak, suami isteri cerai berai hingga lah ke masaalah di kalangan ulama dan pemimpin pemimpin saperti rasuah, skandal itu dan ini,merebut kuasa, dan sebagai nya.

Timbulnya penyakit masyarakat atau kemungkaran itu di sebabkan beberapa perkara saperti berikut:



1. Disebabkan keyakinan manusia terhadap Tuhan sudah nipis atau pun kata kata lain, perasaan Tauhid sudah berkurangan.


2. Oleh kerana manusia itu sudah tidak yakin lagi dengan adanya akhirat ataupun sekiranya masih ada keyakinan namun keyakinan itu sudah nipis.


3. Disebabkan manusia itu terlalu sayang dan cinta pada diri mereka sendiri.



Manakala seseorang itu sudah nipis rasa tauhid nya, sudah nipis keyakinan tentang adanya Tuhan, atau mempercayai adanya Tuhan serta tidak adanya Tuhan sudah sama banyak maka di waktu itu manusia tidak punyai tempat lagi untuk di takuti. Sudah tidak ada lagi kuasa ghaib yang di takuti. Dia akan menjadi manusia yang yang cuba menyesuaikan diri dalam semua keadaan.

Apabila manusia itu tidak yakin dengan hari akhirat atau pun sekiranya ia punyai keyakinan tetapi keyakinan itu sudah nipis maka akhirat itu sudah tidak lagi menjadi idaman atau cita cita nya. Dengan ini hilang lah sifat mahu berjuang atau berjihad kerana fikiran nya sudah tertumpu untuk dunia semata mata.Dia membina dunia untuk dunia. Dia mencari wang untuk dunia, dia mencari pangkat untuk dunia, dan segala galanya adalah untuk dunia.Kadang kadang urusan akhirat sendiri pun di jadikan untuk dunia.Dia hanya sembahyang di khalayak ramai supaya ia menjadi calon di kalangan orang beriman.Dia berlagu atau mengaji Quran untuk hadiah atau pun untuk wang dan sudah tidak lagi untuk akhirat.Keyakinan terhadap akhirat itu terumbang ambing di mana urusan dunia adalah untuk dunia urusan akhirat juga di duniakan. Inilah yang menghasilkan penyakit masyarakat.

Apabila manusia itu telah cinta dengan diri sendiri maka timbullah usaha bagaimana mahu senang sendiri, mahu senang keluarga sendiri, mahu senang kawan kawan sendiri.Akan timbullah perasaan mahu kaya sendiri, akan timbullah untuk membela supaya pandai sendiri.Dalam hal hal mahu membela nasib yang akan bersangkut paut dengan diri sendiri maka ada kalanya terpaksa melanggari hak asasi orang lain,terpaksa merosakkan kepentingan orang lain, kadang kadang terpaksa memijak kepala orang lain dan terus merugikan orang lain.Orang lain yang mempunyai sikap yang sama juga akan melakukan hal yang sama maka akan mencetus kekacauan, peperangan, tindas menindas, lahir perasaan hasad dengki, dan berbagai bagai kekacauan lagi. Inilah yang menyebabkan merebak dan bermaharajalela nya lagi penyakit masyarakat.

Isnin, Julai 20, 2009

TARIKH : 25-26 JULAI 2009
TEMPAT : KAWASAN TAWAU
TETAMU : YB. DR. MUJAHID YUSOF RAWA
YBHG. EN HU PANG CHOU

ANTARA PROGRAM MENARIK


25 JULAI 2009
CERAMAH UMUM
HOTEL WALAITOKUO
PENCERAMAH :
YB. DR. MUJAHID YUSOF RAWA
YBHG. EN HU PANG CHOU


26 JULAI 2009
LAWATAN RASMI…
PASAR TAKADA
PASAR SIN ONN
PASAR TANJUNG

PERASMIAN KELAB PENYOKONG PAS KAWASAN TAWAU

Darihal Isra' Mi'raj


Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.
Iklan

Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang. Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya.

Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.
Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.

Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang.
Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).
Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.
Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi. Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.

Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.
Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.

Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda. Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.

Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..) Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.

Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut. Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin
"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui. Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"
Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya. Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya. Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.
Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak. Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.

Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar ke atas rakyatnya pula.

Wasiat ke-9 Al-Banna, sebarkanlah salam

Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang.
Gerakan dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada perpaduan itu.
Pendek kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.
Pada akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin.
"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara: "Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah." - (Hadis riwayat al-Bukhari)
Lihat anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam.
Jika dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang Islam itu dua perkara yang berbeza.
Sinar Islam malap oleh sikap Muslimin
Diakui bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin - (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam."
Wasiat ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri. Dalam hadis lain disebutkan:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya, hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai, menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya.
Daripada Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." - (lmam at-Tirmizi).
Maka, selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam.
"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - (Surah an-Nisaa: 86)
'Budaya lepak' secara IslamBudaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam!
Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."
Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).
Maka, perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan.
Kita lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat.
Lebih ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid.
Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi.
Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam.
Kita telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi, orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen.
Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang mengasuh mereka mengejar kemewahan.

Ahad, Julai 19, 2009

SUMBER KEDAULATAN POLITIK

Maka berilah peringatan dan ajaran kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan dan kamu bukanlah orang yang berkuasa keatas mereka. (al-Ghasiyah : 21-22)
Saudara muslimin sekelian;
Perkataan politik muncul setiap hari di dalam akhbar yang kita baca atau di dalam alat sebaran am yang kita dengar, di kaca talivisyen yang kita tonton. Ia menjadi cara didikan dan pengajaran yang dipelajari oleh anak-anak kita di bangku-bangku sekolah dan universiti.
Perkataan politik menjadi buah mulut ,bahan bualan, alat perhubungan di kedai kopi, tempat kerja dan di mana-mana sahaja. Politik tetap sampai kepada kita samada kita mahu atau tidak. Dia adalah wahyu semasa kita hidup. Oleh itu mimbar jumaat hari ini akan cuba mendekatkan kefahaman mengenai politik secara ringkas. Kita patut memahami apakah politik itu sebenarnya. Sebagai memenuhi kehendak hadis RasululLah s.a.w. :
Maksudnya : Sesiapa yang tidak mengambil berat mengenai urusan orang Islam maka bukanlah dari golongan mereka.
Sebelum perkataan politik digunakan secara meluas dalam masyarakat melayu, mereka terlebih dahulu mengenali perkataan siasah. Ia disebabkan pengaruh bahasa arab dalam masyarakat melayu. Di dalam kamus al-Munjid, siasah bermakna mengendalikan urusan sesebuah negara, memperbaiki keadaan dan urusan manusia dan pentadbiran urusan sebuah negara.
Dalam kamus moden bahasa Indonesia ada menyebut mengenai perkataan politik dalam bahasa Belanda yang membawa erti tipu muslihat. Politik pemerintahan bermakna tipu muslihat pemerintah. Politik perang bermakna tipu muslihat perang atau pertempuran.
Para ulama’ telah membuat perbandingan di antara perkataan siasah dan politik. Nilai yang terkandung dalam perkataan siasah jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang terdapat di dalam perkataan politik. Menurut mereka pengertian siasah tidak hanya terbatas dalam urusan keduniaan semata-mata malah menekan urusan akhirat. Pengertian ini tidak terdapat pada perkataan politik, malah lebih jauh dari itu, perkataan politik itu sendiri mengandungi unsur-unsur tipu helah jahat yang memang bertentangan dengan pengertian siasah.
Antara tokoh ulama’ yang menghuraikan kedudukan siasah ialah Abu Al-Baqa’ . Dalam tulisan beliau menyebut, "Siasah ialah melakukan sesuatu yang membawa kebaikan kepada makhluk dengan membimbimg mereka ke jalan yang membawa kejayaan masa kini (dunia) dan masa hadapan (akhirat)". Seorang lagi tokoh utama ialah Abdul Wahab Khallaf menjelaskan ," Siasah ialah mentadbir urusan awam di dalam negara Islam dan pentadbiran dengan sesuatu yang dapat melaksanakan kepentingan dan menolak bencana selagi tidak berlawanan dengan hukum dan dasar-dasar syariat".
Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniah menerangkan fungsi pemerintahan Islam ialah " mendirikan Islam dan mentadbir dunia dengannya (agama)". Ini bermakna siasah adalah bermaksud bagaimana hendak mentadbir urusan dunia ini menurut kehendak Islam.
Walaupun sudah banyak penjelasan diberi , namun nampaknya masih ramai orang yang keliru. Masih ada orang yang berpura-pura tidak faham. Masih banyak fikiran yang dihantui oleh fahaman pemisahan agama dan politik. Politik bukan urusan masjid, hendak campak politik di luar masjid: ulama’, orang agama maka bidang tugas mereka hanya terbatas dalam bidang rohani. Manakala urusan negara, urusan kehidupan itu menjadi tugas orang politik dan bermacam-macam lagi.
Sebenarnya fahaman yang memisahkan agama dengan politik adalah fahaman yang terpengaruh oleh barat yang telah memisahkan di antara agama dan gereja yang bermula pada abad pertengahan lagi. Sikap permusuhan barat terhadap Islam telah mendorong mereka mencari berbagai jalan untuk melemahkan umat Islam.
Fahaman bahawa agama tidak ada kaitan dengan urusan politik disebarkan secara meluas dimerata negara umat Islam. Lebih jauh daripada itu agama Islam dituduh sebagai agama yang tidak suci lagi kerana dikotori dan dicampur-adukkan urusan politik dan negara ke dalam agama.
Kita tidak hairan dan bersedih hati kalau barat berfahaman begitu atau melemparkan tuduhan itu terhadap Islam kerana memang aliran pemikiran dan pegangan hidup mereka tidak sama dengan Islam. Tetapi apa yang paling malang dan sangat memalukan ialah sikap yang ditunjukkan oleh orang yang mendakwa dan mengaku dirinya Islam tetapi sanggup bertaqlid buta kepada barat. Lalu slogan pemisahan agama dan negara telah diimpot masuk dan dijulang dan diperjuangkan bermatian-matian di dalam negara umat Islam melalui bermacam-macam cara termasuk melalui tulisan-tulisan jahat yang digerakkan oleh penulis upahan dan penulis suruhan.
Dalam usaha kita memahami politik Islam suatu perkara yang asas ialah mengenai sumber kedaulatan. Titik permulaan dalam mana-mana sistem politik ialah menentukan sumber kedaulatan atau sumber kekuasaan.
Dalam mana-mana sistem politik moden ,biar apa bentuk sekalipun samada kapitalis , komunis, sosialis, sekular dan lain-lain semuanya mendakwa bahawa mereka bersandarkan kepada kehendak rakyat. Menegakkan kepentingan umum dan sumber kedaulatan ialah dibuat oleh setiap sistem di zaman moden ini. Jadi bagaimana kita hendak membezakan di antara satu sistem perseorangan dengan sistem demokrasi.
Di dalam sistem perseorangan, kehendak pemerintah dunia hari ini terdapat dua sumber kekuasaan. Pemerintah mempunyai kuasa yang tidak terbatas keatas semua badan kerajaan, tidak kira samada pentadbiran, undang-undang, kehakiman, ketenteraman awam dan penerangan dan lain-lain.
Di dalam sistem demokrasi pula badan pemerintahan ditentukan oleh rakyat. Oleh itu kehendak rakyat adalah menjadi sumber kekuasaan dan kedaulatan. Satu soalan yang perlu kita kemukakan ialah apakah sumber kedaulatan dan kekuasaan politik Islam jika dirujuk kepada salah satu sumber tadi iaitu kehendak pemerintah atau kehendak rakyat? Marilah kita melihat masyarakat Islam yang pertama sejak Rasulullah s.a.w. menjadi pemerintah.
Firman Allah taala :
Maksudnya : "Dan kamu bukanlah seorang pemaksa terhadap….???? Maka berilah peringatan dengan al-Quran kepada orang yang takut kepada ancaman."
(surah Qaff : 45)

Firman Allah lagi :
Maksudnya : "Dan tiada ayat yang diucapkan itu al-Quran menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."
(An-Najmu : 3-4)

Itulah dia Rasulullah s.a.w. yang menjadi pemerintah pertama umat Islam , menyampaikan risalah tuhannya. Dia tidak terkeluar daripada wahyu yang diturunkan kepadanya.
Kita perhatikan suatu lagi gambaran yang ditunjukkan oleh Khulafa Al-Rashidin . Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapan pertamanya mengatakan :"Wahai manusia aku telah dilantik untuk menjadi pengurus urusan kamu. Aku bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Tetapi al-Quran telah turun dan nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan sunnah. Dengan demikian kita boleh mempelajarinya. Wahai manusia sesungguhnya aku ini adalah pengikut bukannya pembawa. Jika aku melakukan kebaikan berilah pertolongan kepadaku. Jika aku melakukan kesalahan perbetullah daku. Taatlah kepada aku selama mana aku mentaati Allah dan rasulnya. Jika aku mengengkari Allah dan rasulnya maka kamu tidaklah lagi wajib mentaati aku."
Dua gambaran tadi jelaslah bahawa kedaulatan politik Islam dan kekuatan kerajaan Islam bukanlah pada orang perseorangan, bukan ditangan pemerintah tetapi pemerintah wajib tunduk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. . Pemerintah hanyalah seorang individu yang memikul amanah dan tanggungjawab daripada Allah taala.
Firman Allah :
Maksudnya : "Ingatlah kepunyaan Allah sahaja hak cipta dan memerintah segala urusan."
Persoalan yang kedua, apakah sumber kedaulatan politik Islam berada di tangan rakyat seperti sistem demokrasi? Biarlah sekali lagi kita melihat makna kedaulatan menurut teori demokrasi. Ia bermakna kehendak rakyat adalah mempunyai kebebasan sama sekali tidak terikat. Rakyat menjadi tuhan kepada dirinya dan hanya kekuasaan sahaja yang dia mahu. Apakah perkara ini berlaku didalam Islam? Marilah kita merujuk kepada perlembagaan umat Islam.
Allah berfirman :
Maksudnya : "Dan tidak patut bagi seseorang mukmin dan mukminah apabila Allah dan rasulnya telah menetapkan sesuatu ketetapan maka ada lagi pilihan yang lain mengenai urusan mereka. "
Maksud ayat tadi menjelaskan bahawa rakyat di dalam politik islam adalah mempunyai pembatasan tidak bebas, rakyat adalah diperintah bukannya memerintah. Semua urusan adalah kembali kepada Allah. Apa yang diharamkan oleh Allah maka tidak ada seorang pun yang boleh menghalalkannya. Pendapat ramai umat Islam tidak boleh menghalalkan sesuatu. Pendapat ramai umat Islam juga tidak boleh mengharamkannya.
Sabda Rasululah s.a.w. :
Maksudnya: Umatku tidak akan berhimpun dalam perkara yang sesat.

Sebagai kesimpulan bahawa sumber kedaulatan dan kekuatan dalam kerajaan Islam bukannya kehendak pemerintah dan bukannya kehendak rakyat. Ianya adalah hak Allah taala semata-mata. Allah taalalah yang menciptakan perlembagaan umat Islam yang bersifat abadi dan manusia tidak berkuasa mengubah apa yang telah sempurna daripada Allah taala.
Firman Allah taala :
Maksudnya: "Sesungguhnya yang menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah"

Al-Quran adalah kitab Allah dan perlembagaan orang Islam. As-sunnah pula adalah nota penjelasan kepada perlembagaan itu. Perlembagaan itulah yang membatasi kekuasaan kerajaan. Kekuasaan pemerintah dan kekuasaan rakyat semuanya kembali kepada kekuasaan Allah taala. Sesiapa yang mencari petunjuk yang lain dari Allah adalah sesat
Dasar PAS adalah ISLAM
Fasal 4
Seruan PAS adalah ALLAHU AKBAR
Fasal 7.1
Hukum tertinggi dalam perjuangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMA dan QIAS yang terang dan nyata
Fasal 5
Tujuan (Matlamat) Perjuangan PAS
Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Fasal 6
Bagi mencapai tujuan perjuangan, PAS menjalankan usaha-usaha berikut
Menyeru umat manusia kepada syari'at Allah dan sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
Memupuk dan memperkuatkan ukhwah Islamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.
Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.
Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.
Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi ma nusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan keluar.

Khamis, Julai 16, 2009

US AKHIL, TINGGALKAN DUNIA ITU, KEMBALILAH BERJUANG BERSAMA PAS

Ustaz Akhil Hayy Akhirnya Sah Bercerai Hari IniArtis yang merupakan seorang penyanyi dan penceramah bebas, ust Akhil Hayy, 40, akhirnya sah bercerai talak satu dengan isterinya iaitu Maizawati Zainal, 33, di depan Hakim Syarie, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, di Mahkamah Rendah Syariah tengahari ini, selepas 43 hari melalui proses rundingan secara sulh (selesai secara baik), sejak 2 Jun 2009 yang lalu.

Akhirnya Ustaz Akhil Hayy dibelengu dengan kemelut kontroversi yang pastinya akan terus memusnahkan karier dan kerjaya beliau itu. Inilah akibatnya bila beliau yang sudah berhijrah dari dunia "glamour" sebagai artis, tiba-tiba sanggup kembali ke dunia itu bila menyertai Astro Awani. Program TVnya iaitu "Cafe Akhil Hayy" telah menaikkan kembali populariti dirinya. Namun, akhirnya semua itu ditarik balik. Rumahtangga berantakkan hingga membawa perceraian, malah rancangan TV beliau itu pun kini digantung siarannya. Akhil kini sudah bertukar imej semenjak menjadi popular kembali. Teringat imej beliau ketika menjadi penceramah PAS dulu. Buat ust Akhil, kembalilah kepada perjuangan Islam yang sebenar. Usahlah terpengaruh dengan dugaan dunia, hingga membawa anda terpaksa berada dalam dunia yang penuh dengan tipu daya dan fitnah duniawi itu. Sekadar renungan buat Akhil Hayy........................

Rabu, Julai 15, 2009

KERJA-KERJA PANDAI DALAM PAS

"EPISODE SEORANG SUK"
Hampir Dua bulan lebih menjadi SUK PAS Kawasan Tawau. Tiada ungkapan yang indah melainkan "kerja itu adalah paling seronok buat ku". dan inilah kata2 yang terakhir aku ungkapkan kepada akhi A. Dai bersaksikan seorang sahabat wawan (chaks) sewaktu menghantar ku ke ke air port untuk terbang ke semenanjung. kata2 itu terucap dalam keadaan hati ini sedih meninggalkan kerja yang selama ini aku anggap paling seronok. di dalam kereta A. Dai kami hanya berdiam sahaja tak tau le kenapa. mungkin masing2 bersedih. sepanjang perjalanan itu, aku hanya mengenangkan kerja yang aku buat sewaktu menjadi SUK Kawasan. keluarga, sahabat, naqib, usrah, program, PASTI Kuhara, budak mengaji, sekolah, meee tauhu, tom yam utama, dan bayak lagi yang perlu difikir tetapi sepanjang perjalanan itu yang memakan masa 40 mini hanyak kerja Pejabat menjadi topik utama difikiran ku. ingatan itu memang manis di kenang. dan tidak akan mengubah kejantanan ku bila di kenag terus meluruhkan air mata ku. 2 bulan tempoh yang singkat tetapi sangat panjang untuk di jadikan memoir dalam lipatan sejarah hidup ku. Memang tidak disangka juga aku ni terpilih dalam senarai utama sebagai SUK (Pembantu) setiausaha PAS Kawasan tawau oleh SU Kawasan Al-Fadhil Cikgu Mohd Nasir. apabila ditanya kesudiaan ku untuk menjadi SUKPKT hati ku berdebar memikirkan kerja yang berat menanti ku. apa tidaknya sahabat ku Rozaili macam pecah kepala menjadi SUK DPPKT. inikan pula aku yang kurang pengalaman terus menjadi SUKK. memang mati dibuatnya. aku saja melambatkan keputusan untuk menerima amanah itu. padahal sewaktu CMN mengoffer kepada ku kerja SUK, memang jawapan "YA" tanda setuju dalam hati ku...hampir 4 hari baru aku memberi jawapan kepada CMN yang aku bersetuju membantunya membuat kerja pejabat.. selama 4 hari itu, aku langsung tidak memikirkan kerja yang ditawarkan oleh CMN kerana aku memang bersetuju dari hari pertama lagi bila kerja ini ditawarkan kepada ku. Risiko, kena marah, kerja malam, kerja (ingin jadi guru selepas tamat belajar seperti sahabat yang lain mukmin & A. Qahar) , keluarga yang jauh di sandakan hatta imbuhan yang aku akan terima bila dah menjadi SETIAUSAHA KERJA PAS KAWASAN TAWAU. semuanya aku nyahkan dan tidak pernah langsung aku fikirkan. aku hanya fikir akuuuuuu "SERONOK JADI SUK"
Bersambung dahhh................

PSIKOLOGI : MAJORITI 2000 KEPADA 65 UNDI


Tindakan PAS menghebahkan kemenangan calonnya pada jam 3 petang semalam bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, bertujuan melumpuhkan kempen BN dua jam sebelum pengundian tamat, kata penasihat pilihanraya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.Ia dibuat oleh pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun bahawa calon PAS Mohd Fauzi Abdullah sudah menang dengan majoriti hampir 2,000 undi.Abdul Fatah dilaporkan berkata, kemenangan itu berdasarkan kepada bancian jentera pilihanraya PAS terhadap proses pengundian setakat jam 3 petang.
Malah penyokong PAS telah mula meraikan kejayaan Mohd Fauzi dan mengucap tahniah kepadanya selepas Fatah menghebah kemenangan tersebut.
Bagaimanapun, apabila pengumuman rasmi dibuat pada malamnya, Mohd Fauzi mengekalkan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi sahaja.Beliau mendapat 5, 348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.Mengulas mengenainya, Wan Abdul Rahim berkata, ‘serangan psikologi' itu bertujuan untuk menarik sokongan pemilih Manek Urai supaya mengundi calon PAS dalam pilihanraya kecil semalam."Kenyataan tersebut diharap dapat melumpuhkan keghairahan kempen jentera BN dua jam yang terakhir untuk mendapatkan undi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.Ditanya mengenai faktor kemerosotan sokongan terhadap calon PAS kali ini, Wan Abdul Rahim mengakui terdapat pengundi yang terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN.Beliau mendakwa, BN membuat tawaran yang berbentuk ugutan,dan berunsur rasuah.Kekalahan di Laloh mengejutkan"Seperti nak bina jambatan yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru, menjadikan Manek Urai kawasan agropolitan dan sebagai anak angkat kerajaan persekutuan."Ia mempengaruhi pengundi dan kita tidak mampu untuk melawan serangan di Manek Urai pada dua hari terakhirnya," katanya sambil menambah laporan polis sudah dibuat berhubung perkara tersebut kelmarin.Menurut Wan Abdul Rahim lagi, PAS mengalami kekalahan di lima daripada sembilan pusat mengundi di DUN tersebut.Katanya, PAS kalah di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama, Manjor, Temalir, Laloh tetapi menang di Chuchoh Puteri, Lata Rek, Sungai Peria dan Sungai Sok..Mengulas lanjut, beliau juga berkata kekalahan di peti undi Laloh adalah "suatu yang mengejutkan" kerana terdapat pengundi yang tidak puas hati Mohd Fauzi dipilih sebagai calon PAS."Kita tidak berkesempatan untuk menanganinya," katanya sambil menambah kekalahan di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor memang sudah dijangka dari awal.Dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS menang di semua pusat pengundian, kecuali di Manjor.

TRAGEDI DI MU : APA YANG KITA TAHU

PILIHANRAYA Kecil Manek Urai baru sahaja selesai dijalankan semalam dengan keputusan Pas berjaya mengekalkan kerusinya di Dun tersebut. Pada awal kempen dan beberapa hari seterusnya dikatakan kempen kali ini paling aman dan bersih yang turut diakui oleh pihak Polis dan SPR yang sentiasa memantau sepanjang kempen dijalankan. Malang sekali keamanan ini tidak dapat dipertahankan sehingga ke hari kemuncak pada saat dan waktu membuang undi. Beberapa kejadian membaling botol dan batu dikatakan berlaku di antara kedua-dua penyokong parti yang bertanding sehingga melibatkan kecederaan yang agak serius kepada beberapa penyokong parti berkenaan.Apa yang paling mendukacitakan kita ialah laporan pihak media yang kelihatan berat sebelah melaporkan kejadian tersebut. Pihak Pas sering ditonjolkan sebagai pencetus kepada kejadian malang tersebut tanpa menunggu siasatan pihak Polis. Pihak media juga memberi perhatian dan `highlight' mereka kepada mangsa-mangsa yang tercedera dari Puteri Umno sahaja sehinggakan menemubual mereka di katil-katil wad hospital. Ini menggambarkan seolah-olah mangsa hanya terdiri daripada penyokong-penyokong Umno sahaja. Tidakkah kita tahu bahawa penyokong-penyokong Pas juga turut menjadi mangsa kejadian ini?Saya difahamkan bahawa terdapat dua orang penyokong Pas turut menjadi mangsa kejadian yang tidak diketahui siapa puncanya itu. Mereka yang dilaporkan mengalami kecederaan yang lebih parah dari Puteri Umno tersebut adalah seperti berikut:1. Sdr Sahruddin bin Yahya (Pemuda Pas Kawasan Merbok) -Mengalami kecederaan di kepala dan Laporan Polis telah dibuat (No Report KK 001811/09).2. Muslimat Perak - Nadia bte Mohd Kamil (No HP: 013-23701xx) - Mengalami kecederaan di dagu dan masih dirawat di Hospital Kuala Krai , Wad Kenari Katil No 24. (Laporan Report Polis belum diperolehi). Gambar mangsa-mangsa tersebut akan disiarkan kemudian oleh blog Pinkturtle selepas ini.Amat mendukacitakan pihak media bersikap berat sebelah di dalam melaporkan insiden ini. Daripada awal kempen sememangnya pihak media kerajaan sentiasa dilihat berpihak kepada Umno sehinggalah selesai pilihanraya ini pun mereka masih tidak mampu berlaku adil di dalam laporan dan berita mereka. Inilah media yang kita ada dan inilah yang dikatakan transformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan UBN di bawah kepimpinan Najib.Kita yakin, kemenangan Pas di Manek Urai ini walaupun sekadar mendapat majoriti 65 undi sudah memadai untuk menunjukkan betapa hebatnya Pas di dalam berdepan dengan Umno dengan segala jentera kerajaan yang mereka gunakan termasuk `gula-gula' yang ditawarkan kepada pengundi-pengundi di Manek Urai. Pas masih releven di bumi Kelantan dan Pas pernah mengalami saat yang lebih getir sebelum ini di Dun Negeri di mana Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja untuk memerintah. Justeru itu, tiada sebab Pas harus merasa gundah gulana dengan majoriti yang diperolehi baru-baru ini. Kemenangan yang dianugerahkan Allah ini wajib disyukuri dan ini merupakan satu keajaiban buat Pas.Tahniah dan syabas buat semua pengundi-pengundi di Manek Urai yang telah menolak sebuah jambatan demi maruah mereka. Penghargaan juga buat semua jentera PR dan Pas yang telah bekerja kuat bagi membantu kemenangan ini. Tidak lupa tahniah sesama kita Blogger-Blogger yang sentiasa komited memperjuangkan dasar dan perjuangan PR, ini adalah kejayaan kita bersama. Umno telah selamat ditalkinkan di Manek Urai. TAHNIAH ABE UJI.