Ahad, Ogos 23, 2009

Ramadhan Datang Lagi...


Tirai Sya'ban berlabuh pergi

sinar Ramadhan menambah seri

moga taqwa dapat diperolehi

memantap aqidah disanubari


Salam….


Ramadhan 1430 / 2009 tiba lagi. Marilah kita bermohon kepada ALLAH agar dapat kita melalui Ramadhan kali ini dengan penuh kesempurnaan.


Rasulullah diriwayatkan pernah bersabda, "akan ada nanti dikalangan kamu puasanya sekadar lapar dan dahaga sahaja".


Ini bermakna sekadar menahan lapar dan dahaga, sekadar tidak makan dan tidak minum bukanlah puasa yang sebenarnya saperti yang ditetapkan ALLAH. Kalau dipenghujung Ramadhan kita sekadar berjaya mengecilkan size seluar, sekadar menurunkan kadar kolestrol, darah tinggi atau kencing manis..maka itu bukan kayu pengukur kejayaan berpuasa.


Apakah sebenarnya matlamat puasa di bulan Ramadhan. ALLAH menyebutnya sendiri didalam Surah Al Baqarah: 183, "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana umat terdahulu, semoga kamu beroleh taqwa".


Matlamat puasa Ramadhan adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Dimana mahu kita cari taqwa ini? Sekali lagi ALLAH memberi jawapannya didalam Al Baqarah:2, "Inilah kitab (Al Quran) yang tidak ada sedikit pun keraguan padanya, menjadi petunjuk untuk menuju ketaqwaan".


Bermakna dipenghujung Ramdhan nanti, kita boleh mengukur samada 'ibadah kita diterima atau tidak, ialah dengan mengukur samada kita berjaya menjalani kehidupan bertaqwa, iaitu kehidupan berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah.


Ini bersesuaian dengan firman ALLAH dalam Al Baqarah: 185, "Dan dibulan Ramadhan diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia, dengan bukti dan keterangan baginya, dan supaya kamu tahu membezakan (kehidupan kamu)".


Bermakna orang yang bertaqwa akan menjadikan Al Quran dan Sunnah Nabi sebagai garis panduan dan petunjuk dalam menjalani kehidupannya. Dengan menggunakan Al Quran dan Sunnah Nabi maka dapatlah kita membezakan yang mana halal, yang mana haram; yang mana dosa yang mana pahala; yang mana adil yang mana zalim; yang mana hak yang mana batil; yang mana benar yang mana palsu, yang mana Islam yang mana bukan!


Dan menjalani kehidupan bertaqwa ini adalah secara menyeluruh. Tidak cukup sekadar solat, puasa, zakat, haji, umrah. Tetapi seluruh aspek kehidupan. Firma ALLAH, "Wahai orang beriman, peluklah (hiduplah) secara Islam sepenuhnya". Dari bangun tidur sehinggalah tidur semula. Dari masuk tandas, makan, berpakaian, berkeluarga, berjiran, bermasyarakat, bekerja, berniaga, bermuamalat, bermunakahat, berhukum hakam, berpolitik, bernegara, bermusuh, hatta berperang sekalipun dan seluruh aspek kehidupan mestilah melalui jalur-jalur Al Quran dan Sunnah Nabi.


Dan ingatlah, jika satu aspek syariat, hukum hakam dan perundangan Islam yang kita tolak, maka batallah seluruh aqidah kita. Sebagaimana bila kita berpuasa. Kita mula berpuasa apabila terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Bagaimana lapar pun kita, kita tidak akan berani berbuka walau sesaat awal. Walaupun kita telah berpuasa sejak jam 5.53pagi, dan waktu berbuka 7.25ptg, kita tidak boleh berbuka walaupun pada jam 7.24ptg. Walaupun seminit, kita tetap sabar menunggu sehingga jam 7.25ptg. Kerana apa, kerana kita tahu kalau kita bebrbuka jam 7.24ptg, seluruh puasa kita hari itu akan batal walaupun yang kita tolak hanyalah seminit. Begitulah kehidupan Islam, walau kita telah bersolat, puasa, zakat, haji, umrah dan lain-lain, namun jika kita tolak walau satu syariat atau hukum hakam Islam, maka batallah aqidah kita seluruhnya.


Amat malang kita pada hari ini, kerana itulah yang telah kita lakukan.


ALLAH perintahkan kita qisas dalam kes bunuh, kita tolak dan menerimapakai Seksyen 302 Kanun Kesiksaan yang dibawa oleh Lord Reid kafir la'natullah;

ALLAH perintahkan kita memotong tangan pencuri, kita kata penjara sudah mencukupi;

ALLAH perintahkan kita rejam dan sebat penzina, kita kata denda sudah cukup;

ALLAH perintahkan kita jangan syrik, kita sembah bertafakkur tugu negara walaupun Majlis Fatwa memfatwakan perbuatan itu syirik;

ALLAH perintahkan supaya Al Quran menjadi sumber undang-undang tertinggi, kita nobatkan Perlembagaan Persekutuan yang dihadiahkan penjajah sebagai undang-undang tertinggi negara.


Dan yang paling malang, dengan perbuatan syirik, fahsyad, maksiat dan mungkar yang kita lakukan, kita masih berangan dan bermimpi yang kita ini paling layak masuk syurga.


Dan bila ditegur oleh ulama' dan Tok Guru, kita marah, kita maki, dan kita fatwakan ulama' yang menegur sebagai sesat dan perlu bertaubat! Na'uzubillah..
Ingatlah wahai ikhwan, 'ibadah puasa mengajar kita bahawa apa jua yang kita buat, hanya ALLAH jua yang mengetahui. Kalu bersolat, orang akan nampak. Kalau berzakat, orang akan nampak kita membayarnya. Kalau berhaji, orang nampak kita ke Makkah. Tetapi kalau berpuasa, siapa pun tidak tahu samada kita benar-benar berpuasa atau tidak. Hatta anak isteri yang bersahur dengan kita subuh tadi pun tidka tahu samada kita benar-benar berpuasa. Siapa yang akan tahu apa yang kita buat, entahkah kita makan dalam pejabat, entahkah kita merokok dalam tandas, dan pelbagai lagi kemungkinan.
Sebab itu Ramdhan mengajar kita menentang diri sendir, melawan nafsu kita. Sebaik sahaja pulang daripada kemenangan besar dalam peperangan Badar dan menuju kembali ke Kota Madinah, sahabat mengucap alhamdulillah dan berkata kepada Nabi "syukur kita telah menang dalam perang besar Badar Al Qubra ini".
Apa jawab Nabi saw; "kita kembali daripda pernag kecil, kita menuju ke peperangan yang lebih besar". Sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah ada peperangan lebih besar di Madinah ini?".
Jawab Rasulullah, "Ya, mujahiddin nafsi..perang melawan nafsu & diri kamu sendiri".

Moga Ramadhan 1430 ini akan memberikan sinar taqwa dan keimanan yang sebenarnya kepada kita semua insyallah; moga kita muncul sebagai insan yang lebih beriman dan bertaqwa insyallah.

Selamat melaksanakan 'ibadah puasa dibulan Ramadhan 1430 ini.


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala kritikan dan komen berhubung blog ini atau tulisan yang dipaparkan di dalam blog ini amatlah diharapkan.