Isnin, Mac 01, 2010

Orang Mukmin Gembira Dengan Maulid Nabi


Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawat dan salamlah kepadanya.”

(Surah Al-Ahzab:Ayat 56)


Perintah ini merupakan satu penghormatan bagi membesarkan kedudukan Baginda s.a.w. Begitu juga arahan Malaikat berselawat ke atas Baginda serta Allah memerintahkan orang-orang mukmin yang lain iaitu hingga Hari Kiamat agar mereka berselawat dan mengucapkan salam ke atasnya. Ini kerana Rasulullah s.a.w hidup, dan selepas kewafatan Baginda dengan kehidupan yang utama serta istimewa. oleh kerana itu Allah menyuruh berselawat ke atas Nabi kita yang hidup beserta roh dan jasad hingga hari Kiamat. Allah telah berselawat ke atas Baginda pada waktu lepas, sekarang dan sentiasa hingga tiada penghujung dan akhir.


Kita tidak mengucapkan salam ke atas mayat Nabi yang mati, bahkan kita mengucapkan salam ke atas Nabi yang pernah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud:


"Allah akan mengembalikan roh aku lalu aku menjawab ke atasnya (orang yang berselawat ke atasku) akan salamnya"


dan sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Yu'la dalam musnadnya daripada Anas serta Imam Ahmad:


"Para anbiya' hidup di dalam kubur mereka, mereka (para nabi) bersembahyang (dalam kubur mereka)."


Dan juga sabda Baginda sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah:


"Sesungguhnya Allah mengharamkan kepada bumi daripada memakan jasad para anbiya'."


Tidak dapat tidak kita mesti berpegang kepada akidah ini sebagaimana pada setiap kali sembahyang kita diperintahkan agar berselawat dan mengucapkan salam ke atas Baginda: "Assalamualaika ayyuha al-nabi" (Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi). Salam dan seruan tidak berlaku kepada sesuatu yang tiada tetapi diseru kepada sesuatu yang wujud kerana agama kita tidak menyuruh melakukan amalan yang sia-sia.


Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan selainnya: Allah telah menghimpunkan sekalian Nabi dan Rasul bagi Baginda s.a.w pada malam Mikrajnya, yang demikian itu selepas kewafatan mereka dan ada yang telah dikebumikan di dalam tanah.


Fikirkan: Bagaimana Allah mampu menghidupkan mereka (para Nabi dan Rasul)? Dan bagaimana mereka datang? Bagaimana mereka sampai dan bagaimana Baginda s.a.w melihat mereka di langit? Fikirkan lagi: Bagaimana Allah mengangkat mereka ke langit sedangkan mereka disemadikan di bumi?

Baginda Rasulullah s.a.w melihat Nabi Adam pada langit pertama, Nabi Isa dan Yahya pada langit kedua, Nabi Yusuf pada langit ketiga, Nabi Idris pada langit keempat, Nabi Harun di langit kelima, Nabi Musa di langit keenam serta Nabi Ibrahim pada langit ketujuh.


Para Nabi tersebut telahpun wafat dan disemadikan tetapi Allah telah menghidupkan mereka dan Nabi kita s.a.w sebaik-baik Nabi dan Rasul, tentulah lebih afdhal untuk dihidupkan. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda-dalam keadaan Baginda sedang haji:


"Seolah-olah aku melihat Musa bin Imran sedang bertalbiah mengangkat suaranya" Iaitu: dalam keadaan mengangkat suaranya ketika bertalbiah. "Dan seolah-olah aku melihat Yunus bin Matta". Dalam ibadat haji tersebut Baginda s.a.w telah melihat para Nabi dan Rasul hidup, bagaimana pula keadaan ketua mereka (Nabi Muhammad s.a.w)?


Juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan selainnya,:


"Bahawa Baginda s.a.w pada malam Mikrajnya telah melalui kawasan kubur Nabi Musa lalu Baginda bersabda: Aku melihat Musa bin Imran sedang berdiri bersembahyang di dalam kuburnya di sisi bukit pasir merah (iaitu di Palestin).


Lihat bagaimana Allah berfirman tentang bapa saudara Rasullullah, Hamzah bin Abdul Muttalib yang syahid :


“Bahkan mereka (iaitu orang-orang yang mati syahid itu) hidup di sisi Tuhan mereka dalam keadaan mereka diberi rezeki. Wajah mereka berseri-seri penuh kegembiraan atas kelebihan kurniaan-Nya. Mereka senang melihat saudara-saudara yang ditinggalkan di dunia tetap berada di jalan keimanan dan perjuangan. Selain itu, mereka (para syuhada') tidak takut akan sesuatu yang tidak disenangi bahkan mereka tidak akan bersedih kerana kehilangan sesuatu yang disenangi.”

(Surah Al-Ahzab:ayat 45-46)


Razali sani

02 Mac 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala kritikan dan komen berhubung blog ini atau tulisan yang dipaparkan di dalam blog ini amatlah diharapkan.